Saturday, December 24, 2011

Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh



PROF. DATUK DR ISMAIL BIN MD. SALLEH 
JEJAK-JEJAK JAYA 
OLEH NORHASHIMAH HASHIM 
   
BUKAN senang untuk menjadi seperti dia — dia yang sentiasa peka terhadap naik turun 
nilai mata wang dan keadaan pasaran saham; dia yang tidak pernah kenal erti jemu 
membuat kajian ini dan penyelidikan itu; dia yang sering terlibat dalam penggubalan 
dasar ini dan polisi itu.  Dalam kesibukannya berlumba dengan masa untuk menyiapkan 
laporan ini dan menyediakan kertas kerja itu, dia tetap tidak mengabaikan 
tanggungjawabnyasebagai pensyarah yang mendidik bakal-bakal koperat dan teknokrat 
Negara.  Dia tidak alpa dari tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan seorang ayah. 
     Ismail Salleh telah dilahirkan dalam keadaan cacat penglihatan pada 2 September 
1947 di Pasir Mas, Kelantan.  Meskipun lahir tanpa satu indera, anak ini dilayan sama 
rata oleh ibu bapanya sepertimana lapan adik beradiknya yang lain.  Seperti kanak-kanak 
lain, dia juga dapat mengecap nikmat lari berkejaran ke sana sini dan bermain dengan 
rakan-rakannya. 
      
     Sejak kecil lagi, anak ini sudah menunjukkan kecenderungannya untuk belajar.  
Setelah abangnya mula bersekolah, dia akan menyambut kepulangan abangnya saban hari 
dan bertanya apa yang dipelajari di sekolah.  Ibu bapanya juga menitikberatkan 
pendidikan anak-anak meskipun keadaan ekonomi mereka tidak begitu 
memberangsangkan ketika itu.  Justeru, mereka ingin melihat Ismail melangkah ke 
sekolah seperti anak-anak mereka yang lain. 
     Dengan tidak semena-mena, satu pameran kraf tangan telah diadakan di Sekolah 
Kebangsaan Salor, Pasir Mas.  Daripada pameran itulah ibu bapa Ismail mendapat tahu 
mengenai Sekolah Princess Elizabeth untuk kanak-kanak cacat penglihatan di Johor 
Bahru.  Lalu, mereka mula membuat persiapan untuk menghantar anak mereka kesana.  
Hasrat murni mereka mulanya ditentang oleh orang-orang kampong.  Namun, mereka 
tetap nekad untuk menghantar anak mereka ke sekolah khas itu.  mereka rela berpisah 
dengan anak mereka demi masa depan anak itu sendiri.  
     Keadaan di Sekolah Princess Ellizabeth ketika itu teramat daif.  Tidak ada bahan 
bacaan Braille.  Masa mereka dalam bilik darjah banyak dihabiskan dengan mendengar 
guru-guru mereka membaca buku-buku cerita.  Ini diselang-seli dengan menghafal sifir.  
Di luar waktu persekolahan, Ismail dan rakan-rakannya dilatih untuk berdikari.  Mereka 
diajar kemahiran pengurusan diri seperti membasuhdan melipat pakaian, mengemas 
almari dan tempat tidur dan mengemas meja makan.  Pada hari minggu, mereka diajar 
kemahiran asas di dapur seperti memotong dan membersihkan sayur-sayuran, mengopek 
udang dan kerang dan sebagainya.  Pada hujung minggu juga murid-murid sekolah ini 
diajar mobiliti.  Mereka dilatih untuk memahirkan diri dengan penggunaan tongkat putih 
di kawasan berhampiran sekolah mereka.   
     Selain aspek akademik dan pengurusan diri, sekolah ini turut memberi penekanan 
kepada pengajian Al-Quran dan fardu ain.  Kelas-kelas agama ini diadakan pada waktu 
petang. 
     Sewaktu berada di darjah tiga, barulah bahan bacaan braille mula bertambah.  Bukubuku itu dibekalkan oleh Persatuan Bagi Orang-orang Buta Malaysia.  Mulai darjah tiga 
juga, Ismail mula terserlah dalam bidang akademik.  Dia sentiasa mendapat tempat 
pertama dalam kelas setiap kali peperiksaan penggal dijalankan.  Pelajaran yang paling 
diminatinya ialah matematik dan sejarah.  
     Pada tahun 1962, Ismail menduduki peperiksaan Malaysian Secondary School 
Entrance Examination dan memperoleh gred A.  Dia meneruskan pengajiannya ke 
peringkat menengah di Sultan Ismail College, Kota baru pada tahun berikutnya.  Sekolah 
ini merupakan sekolah berprestij yang ternama di Kelantan dan di Malaysia ketika itu.  
Pelajar yang terpilih untuk memasuki sekolah ini bukan calang-calang.  Mereka harus 
trampil dalam bidang akademik dan kokurikulum.  
     Ini merupakan titik peralihan dalam hidup Ismail.  Kalau sebelum ini, dia belajar dan 
tinggal seasrama dengan rakan-rakan senasibnya, kini dia sekelas dan seasrama dengan 
rakan-rakan yang sempurna panca indera.  Kalau di sekolah rendah dia melakukan kerjakerja membasuh dan mengemas di bawah seliaan guru-guru dan kakak-kakak pengasuh, 
kini, dia melakukan semua itu tanpa seliaan sesiapa.  
     Oleh kerana Ismail merupakan pelajar cacat penglihatan pertama di sekolah tersebut, 
masalah utama yang terpaksa didepaninya ialah masalah tidak ada bahan bacaan braille.  
Oleh yang demikian, dengan bantuan rakan-rakan, dia terpaksa menhyalin buku-buku 
teksnya sendiri di sebelah petang.  Dia juga terpaksa menaip kerja rumahnya dengan 
menggunakan mesin taip biasa untuk disemak oleh guru-guru yang mengajar di dalam 
kelas. 
     Dalam pada itupun, prestasi Ismail terus meningkat.  Sewaktu di tingkatan satu, dia 
telah memenangi tempat pertama dalam Peraduan Menulis Esei Peringkat Kebangsaan 
kategori sekolah menengah sempena Minggu Orang-orang Cacat.  Satu lagi hal yang 
membanggakan ialah dia berjaya mengatasi rakan-rakannya yang normal dalam setiap 
peperiksaan semasa di tingkatan empat dan lima.  Ini seterusnya membolehkan Ismail 
merangkul Pingat "The Best Ismaililian in Academic" pada tahun 1967.   
     Mulanya, Ismail bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.  Ini bertolak daripada 
minatnya yang mendalam dalam pelajaran sejarah.  Benih cita-cita itu semakin 

bercambah apabila gurunya Encik Ong Theam Lye kerap membacakan bahan-bahan 
perundangan untuknya. 
     Setelah meraih keputusan cemerlang dalam Malaysian Certificate of Examination, 
Ismail dan seorang temannya telah merintis jalan untuk ke tingkatan enam rendah di St. 
John Institution, Kuala Lumpur.  Ini menjadi mungkin setelah salah seorang gurunya iaitu 
Encik Raymond Hall menulis surat rayuan kepada Kementerian Pelajaran.  Oleh kerana 
sekolah barunya tidak mempunyai asrama, Ismail tinggal di asrama Sekolah Tinggi 
Setapak dan berulang-alik ke sekolah dengan menaiki bas.  Bahan bacaan bukan lagi 
masalah yang serius di sekolah ini kerana ia boleh didapati dari luar negara. 
     Ketika di tingkatan enam inilah dia diperkenalkan dengan pelajaran ekonomi.  Dia 
terus meminati pelajaran itu.  Penguasaan matematiknya yang mantap merupakan satu 
faktor yang menambahkan daya penarik terhadap pelajaran tersebut.  
Pada tahun 1969, Ismail telah menduduki peperiksaan Higher School Certificate.  
Keputusan yang diperoleh beberapa bulan kemudiannya telah melayakkan Ismail untuk 
mendapat tawaran biasiswa MARA bagi melanjutkan pengajian dalam bidang sains 
politik dan ekonomi di State University of New York.  Dalam sesi temuduga, Encik 
Wahab Alwi salah seorang panel penemuduga telah meyakinkan ahli-ahlli panel yang 
lain mengenai keupayaan anak muda ini.  Encik Wahab berpandangan positif terhadap 
Ismail kerana dia sendiri pernah diajar oleh seorang profesor cacat penglihatan semasa 
menuntut di Australia.  Berikutan dengan itu, MARA terus menghubungi Kedutaan 
Amerika bagi menguruskan kemasukan Ismail ke universiti di negara tersebut. 
     Maka, pada tahun 1970, berangkatlah pemuda yang bersemangat waja ini ke Amerika. 
Salah seorang penuntut Malaysia yang ikut berangkat bersamanya ialah Siti Zaharah 
Sulaiman yang kemudiannya menjadi rakan baik dan pembaca sukarelanuya. 
     Ismail tinggal di Hall of Residence sehinggalah dia menemui keluarga angkat yang 
luhur pekerti.  Seorang pegawai pemulihan telah mengajar Ismail mobiliti di sekitar 
kampus.   
     Proses pembelajaran seorang mahasiswa cacat penglihatan di Amerika agak mudah.  
Terdapat ramai sukarelawan yang menyediakan bahan-bahan bacaan dalam bentuk 
rakaman dan bentuk braille.  Lingkungan pergaulan Ismail juga semakin luas.  Dia 
pernah ikut serta dengan kawan-kawannya dalam kembara ke Kanada dan Niagara pada 
hari cuti.  
      
     Pada tahun 1973, Ismail melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana di University 
of Illinois dan memilih pengkhususan dalam bidang pembiayaan awam di bawah 
bimbingan Prof. Dr John Due, salah seorang pensyarah terkemuka ketika itu.  Di Illinois, 
Ismail menyewa sebuah apartmen.  Dia perlu berjalan kaki selama lima belas minit untuk 
pergi balik ke kampus.   
     Di universiti ini, Ismail telah berkenalan dengan rakan-rakan dari Universiti 
Kebangsaan Malaysia.  Mereka telah menganjurkan dia memohon jawatan pensyarah di 
universiti berkenaan.  Meski memiliki kelayakan yang diperlukan, laluannya untuk 
menjadi pensyarah tidak mudah.  Dekan Fakulti Ekonomi iaitu Datuk Dr Halim Ismail 
mengambil masa kira-kira setahun untuk meyakinkan pihak pengurusan universiti 
tersebut. 
     Ismail meneruskan lagi kembara ilmunya ke peringkat doktor falsafah di universiti 
yang sama selama tiga tahun.  Dia memilih bidang pencukaian sebagai pengkhususannya.  
Dalam usaha menyiapkan tesisnya, dia telah dibantu oleh rakan-rakan sekelasnya 
sewaktu di tingkatan enam.  Mereka termasuk Tan Sri Raymond Navaratnam yang 
bertugas di Perbendaharaan Negara.  
     Ismail telah pulang ke tanahair pada tahun 1977 setelah menamatkan pengajiannya.  
Dia telah mendapat anugerah Guiness Book of Record kerana merupakan orang cacat 
penglihatan pertama di Malaysia yang mendapat ijazah Doktor Falsafah. 
     Dia memulakan tugasnya sebagai pensyarah  
Jabatan Ekonomi Analisa Universiti Kebangsaan Malaysia.  Universiti berkenaan juga 
telah menggaji abangnya untuk membantu menyediakan rajah bagi melicinkan proses 
pengajarannya di dewan kuliah.  
     Kejayaan dan kepulangan Ismail ke Malaysia telah mendapat liputan meluas di dalam 
media cetak dan media elektronik.  Kecemerlangannya telah mencelikkan hati orang 
ramai.  Sekaligus, berita-berita itu juga telah memberi perangsang kepada pelajar cacat 
penglihatan untuk melipatgandakan usaha mereka.   
     Dengan memiliki kelulusan sahaja tidak cukup untuk membuktikan kepada rakanrakan sejawat bahawa pensyarah cacat penglihatan setanding dengan mereka dalam 
segenap hal.  Situasi sedemikian tidak sekali-kali mematahkan semangat Ismail.  Dia 
menjalani kehidupan rutin seorang pensyarah dengan mengajar di samping aktif membuat 
kajian dan penyelidikan.  Susah payahnya membuahkan hasil yang memberangsangkan.  
Pada tahun 1982, dia telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Analisa selepas 
memangku jawatan tersebut selama setahun.  Pada tahun yang sama, dia telah mendapat 
profesor madya.   
     Sememangnya Ismail bersyukur di atas nikmat 
 kejayaan yang telah dikecapinya.  Namun, langkahnya tidak terhenti di situ sahaja.  Dia 
terus memburu peningkatan dalam hidup.  Dia bermati-matian memperlengkapkan diri 
untuk mendapat profesor pula yang sepatutnya sudah menjadi miliknya dua tahun 
kemudian jika dinilai kuantiti dan kualiti hasil kajiannhya.     
     Pada tahun 1985, Ismail menghabiskan cuti . sabatikalnya di Institut Kajian Strategik 
dan Antarabangsa (ISIS).  Setelah tempoh sabatikalnya tamat, dia ditawarkan untuk 
berkhidmat di sana.  Tun Hussein Onn yang ketika itu merupakan pengerusi institut 
berkenaan, telah menulis surat meminta perlepasan kontrak Ismail daripada Universiti 
Kebangsaan.  Permohonan tersebut tidak diluluskan.  Bagaimanapun, dia dibenarkan 
menjadi pensyarah sambilan di ISIS.  Pada tahun 1990, dia telah meletak jawatan di 
Universiti Kebangsaan dengan mengorbankan peluang untuk mendapat pencen dan 
dengan  menolak pelawaan untuk memohon jawatan profesor.  Dia kemudiannya 

berkhidmat sepenuh masa dengan ISIS.  
  
     Di ISIS, Ismail terlibat secara langsung dalam menyediakan dasar-dasar kerajaan 
termasuk pembentukan Kawasan Konsep Pertumbuhan Segitiga (EAEC) dan Wawasan 
2020.  Dia ikut terlibat dalam perancangan pelan strategik beberapa buah negeri.  
Seterusnya, dia telah dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Timbalan Ketua Pengarah 
ISIS.  Dia turut mengetuai Secretariet Malaysian Business Business Council yang 
dipengerusikan oleh Perdana Menteri. 
     Pada bulan Julai 1994, Ismail cuba mengalih sedikit haluan hidupnya dengan 
menceburi bidang perniagaan pendidikan.  Dia telah mengasaskan Twintech Institute of 
Technology kerana didorong oleh kekurangan tenaga kerja teknikal dan professional 
Melayu.  Institusi pendidikan ini telah bermula dengan 87 orang mahasiswa dan enam 
orang pensyarah.  Kini, institusi ini mempunyai 3500 orang penuntut dan 200  
tenaga pengajar.  Pada bulan September 2003, institusi ini telah dinaikkan taraf menjadi 
sebuah kolej universiti.  Selaras dengan itu, kini dia merupakan Ketua Pegawai Eksekutif 
dan Naib Canselor International University College of Technology Twintech.   
     Sepanjang kerjayanya sebagai pensyarah dan penyelidik, Ismail telah membuat 
banyak kajian yang antara lain merangkumi bidang-bidang seperti makroekonomi, 
penilaian semula projek, ekonomi industri dan pembahagian pendapatan dan hubungan 
etnik.  Berikutan dengan itu, dia telah menghasilkan lebih daripada 80 kertas kerja.  
Selain itu, dia juga telah menghasilkan lebih daripada 20 buah buku sama ada secara 
perseorangan atau bersama pengkaji-pengkaji lain.  Antara buku-bukunya ialah The
Privatisation of Public Enterprise : A Case Study of Malaysia, Privatization and Public 
Enterprise, A Review of The Price Subsidy Scheme For Padi dan Makroekonomi Untuk 
STPM.  
      
     Ismail turut menyumbang rencana berkaitan isu-isu ekonomi semasa dalam majalah 
dan akhbar.  Dia juga sering dijemput untuk memberi pandangan tentang belanjawan 
Negara dan dasar-dasar ekonomi dalam rancangan-rancangan berupa diskusi dan forum 
yang disiarkan oleh setesyen-setesyen televisyen.  
     Kegigihan dan kesungguhan pakar ekonomi ini telah diiktiraf di dalam Negara dan di 
peringkat antarabangsa.  Ismail diberi kepercayaan untuk menganggotai Majlis 
Perundingan Ekonomi Nasional (MAPEN), Majlis Tindakan Ekonomi Nasional (MTEN) 
dan  Panel Penasihat Ekonomi Kelantan.  Dia juga adalah Presiden Persatuan 
Kebangsaan IPTS Bumiputera, Ahli Lembaga Pengarah KWSP dan Ahli Majlis 
Pendidikan Tinggi Kebangsaan.  Di samping itu, Ismail juga adalah Ahli Lembaga 
Pemegang Amanah Yayasan Tenaga Nasional (YTN), Yayasan Kajian Strategi Melayu 
(YKSM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Kompleks Penyayang Bakti, Jabatan 
Kebajikan Masyarakat Malaysia dan  Yayasan Amanah Pembinaan Insan  
 (YAPI). Dia turut mendapat ijazah Doktor Persuratan daripada Irish International 
University pada tahun 2001.  
     Pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang ada pada ahli ekonomi ini telah 
menuyebabkan pihak-pihak tertentu tidak ragu-ragu untuk menerima khidmat 
perundingnya.  Ini termasuk Kerajaan Malaysia, Kerejaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan 
Negeri Melaka, UNIDO, UNCTAD, PETRONAS, NOMURA, ESCAP, Bank 
Pembangunan Asia dan Bank Dunia. 
     Kejayaan yang telah diraih oleh pakar ekonomi ini telah melayakkannya mendapat 
beberapa pingat dan anugerah.  Antara pingat yang telah dikurniakan kepadanya ialah 
Pingat Johan Setia Mahkota dan Pingat Panglima Jasa Negara daripada Duli Yang Maha 
Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.  Selain itu, dia turut dikurniakan 
Pingat Kepujian Tertinggi daripada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau 
Pinang. Ismail juga pernah terpilih sebagai Tokoh Kebangsaan Orang Kurang Upaya 
     Meskipun intelek ekonomi ini telah gah namanya ke mana-mana, dia tidak pernah 
melupakan rakan-rakan senasibnya.  Dia adalah Presiden Persatuan Bagi Orang-orang 
Buta Malaysia dan Pengerusi Hospital Mata Tun Hussein Onn.  Dia juga tidak keberatan 
menerima jemputan Majlis Kebangsaan Orang-orang Buta Malaysia untuk memberi 
ceramah atau membentang kertas kerja dalam seminar atau forum yang dianjurkan.  
Dalam majlis-majlis seperti ini, dia akan memperturunkan tip-tip penting kepada pelajar 
cacat penglihatan dan rakan-rakan senasibnya untuk berjaya dalam hidup. 
Di samping itu, dari semasa ke semasa, dia akan berunding dan menghantar kertas 
cadangan kepada kerajaan bagi menyarankan pemberian insentif tertentu kepada mereka 
yang kurang upaya untuk meningkatkan taraf hidup mereka.  Insentif itu tidak terbatas 
kepada bantuan kewangan semata-mata.  Sebaliknya, ia turut merangkumi bantuan dalam 
bentuk peralatan yang dapat mempermudah proses pembelajaran penuntut cacat 
penglihatan di sekolah dan institusi pendidikan tinggi.  Kemudahan dalam bentuk 
peralatan juga dapat mempertingkat kualiti kerja petugas cacat penglihatan di pejabat.   
     Dalam kesibukan bergelut dengan tugas-tugas seharian dan kerja-kerja sukarela, 
Ismail mempastikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dijalankan sesempurna 
mungkin.  Rumahtangga yang didirikan pada tahun 1982 tambah bermakna dengan 
kelahiran tiga orang putera dan tiga orang puteri yang kini berusia antara lapan hingga 21 
tahun.  Meski hamper saban hari dia bertolak ke pejabat bersama matahari dan pulang 
semula ke rumah bersama bulan, kasih sayangnya terhadap anak-anak tetap melimpahruah.  Dia kerap menelefon mereka dari pejabat atau ketika sedang dalam perjalanan 
menuju ke mana-mana.  
     Demikianlah rentetan kisah hidup seorang insan yang begitu tabah tatkala berdepan 
dengan cabaran dan rintangan sewaktu meniti denai-denai kehidupan bersama mereka 
yang sempurna panca indera.  Dalam pada itu, dia lebih senang kejayaannya dikaitkan 
dengan sumbangan profesionalnya; bukan dikaitkan dengan kecacatannya.  Apapun, 
Ismail telah membuktikan bahawa orang kurang upaya boleh berjaya selama mana 
mereka diberi peluang dan kepercayaan untuk menunjukkan potensi dan kebolehan 
mereka.  


INFO: